Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Sunday, 10 March 2013

Before and after.

Perihal entri yang sebelum ini. Mungkin setelah ditelaah dengan lebih teliti, apa yang aku tuliskan itu berunsur merapu-rapu dan juga berbentuk nak meluahkan dan memulakan semula penulisan yang sudah lama aku tinggalkan.

Jadi entri ini mungkin untuk lebih menjelaskan lagi dengan lebih baik apa yang ingin aku sampaikan pada entri sebelum ini, yakni tentang tajuk utamanya adalah doa.

Doa merupakan sesuatu yang berkuasa bagiku. Doa itu senjata yang paling kuat yang pernah aku hunus, aku acu, aku pegang dan seabagainya. Aku tidak pasti ini adalah hadith sahih ataupun tidak, namun yang sering kita dengarkan adalah doa itu merupakan sejata mu'min.

Apa yang kita doakan, sudah pasti Allah akan mengabulkannya. Lebih-lebih lagi pabila pada kita bersujud. Hambanya itu lebih dekat dengan penciptaNya apabila ketika dia bersujud kepadaNya. Maka Allah akan lebih mendengar rintihan kita, doa dan hajat kita.

Maka, disini terwujudnya fiqh doa di mana ada adab-adabnya dalam cara kita berdoa kepada Allah. Merasa rendah dan hinanya diri ini, merasa kebesaran dan keesaan dan kekuasaan Allah, ingin bertaubat dari kesalahan-kesalahan lepas, dan yakin bahawa Allah akan kabulkan doa kita. Itu antara adab-adab dalam berdoa. Kalau inginkan yang lebih rinci dan jelas, boleh cari di youtube nanti.

Apa yang ingin diluahkan ini sebenarnya, dulu aku pernah berdoa untuk sesuatu. Sekarang bila dah dapat apa yang aku doakan itu, aku terlupa bahawa aku pernah mendoakan untuknya. Malah aku sekarang lupa untuk mensyukuri apa yang sudah Allah anugerahkan kepadaku. Bahkan, aku mengeluh, bahawa apa yang aku dapat kini, sesuatu yang betul-betul mencabar diri aku, dan juga orang lain yang terlibat. Maka, disitulah datangnya ketidakpuasan, ketidaksyukuran seorang hamba terhadap Penciptanya. Betapa hinanya hamba itu sebenarnya...

ayuh kita layan video dibawah ini sebentar.




Seharusnya kita belajar untuk bersyukur dengan segala apa yang Allah kurniakan kepada kita, walaupun seringkali kita berprasangka buruk terhadap tuhan kita. Apakah ini yang kau perlukan? Apakah ini baik untuk diriku? Sampai bila harus aku bernasib begini? 

Persoalan yang patut ditanyakan, sampai bila kita nak sedar, banyak yang telah Allah berikan rezeki kepada kita. Sampai bila kita nak sombong kepada tuhan kita? Sampai bila kita nak berlengah-lengah dalam mensyukuri nikmatNya, rezekiNya, kurniaNya, anugerahNya? 

Sampai bila?

Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahku dan beriman kepadaku, agar memperoleh kebenaran. (2:186)

Friday, 8 March 2013

Prayers that goes unanswered.

Menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita dimana kita ini sering melupakan apa yang telah kita lakukan. Terkadang sehinggakan menjadi satu penipuan, kerana kita lupa, kita mengaku sebaliknya. Tersalah fakta, tersalah ingat, tidak cukup cebis-cebis memori untuk mengaitkan dan mengumpulkan segala potongan-potongan ingatan seperti beribu-ribu puzzle kecil yang pabila dicantumkan akan menjadi gambaran yang satu. A whole.

Ah, apa aku mengarut ni.

Apa yang aku nak tekankan disini, sejauh mana kita ingat doa-doa kita yang dulu kita minta daripada Allah. Setinggi mana keyakinan kita dan sedalam mana kepercayaan kita terhadap kekuasaan Allah bahawa kita beriman pada apa Allah akan mengabulkan doa-doa kita itu sama ada berdasarkan apa yang kita hajatkan ataupun dengan apa yang lebih baik daripada itu. Ingatlah, InnAllaha kana bikulli syai in alima. Maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Bagi aku. Aku nyaris terlupa, hampir tidak ingat dan lenyap memori bahwa suatu ketika dahulu, aku sudah banyak kali memasang niat dengan memintakan pertolongan dan sokongan. Aku berdoa untuk dimakbulkan dan dikurniakan apa yang ku hajati. Sekarang, apabila aku sudah merenungi diri, merenungi nasib, merenungi takdir yang sudah Allah tetapkan buatku, aku sedar, bahawa aku sudah lupa, Allah sudah lama kabulkan doaku.

Itulah manusia, tak bukan? Mudah lupa diri, senang lupa asal usul, gampang untuk tidak mensyukuri kepada yang memberi. Lebih-lebih lagi pabila sudah dikurniakan nikmat. Apakah nikmat itu yang akan meingatkan kita kepadaNya ataupun sebaliknya menjauhkan kita. Kalau yang demikian, maka istidraj itu suatu yang aku minta Allah jauhkan daripadaku. Nauzubillahiminzalik.

Ya, mungkin kalau difikirkan semula, memang ambil waktu yang lama untuk Allah makbulkan doa itu. Tapi itu tidak bermakna Allah lemah. seolah-olah dia perlu mencari kekuatan atau mengumpulkan tenaga untuk kabulkan doa-doa hamnya. Sesungguhnya tidak.

Tetapi bukankah kerana apakah aku sudah bersedia untuk mendapat kurniaan Allah itu? Bukankah kerana apakah aku sudah layak untuk diberikan hadiah sebaik-baik itu? Bukankah memang pada waktu itu dan inilah waktu yang cocok dan sesuai untuk aku dianugerahkan apa yang aku perlukan dalam hidupku, pada waktu itu juga.

As in the English language, the right time and at the right moment. Or in other words, by chance in example a coincidence or others may call it synchonicity wave travelling.

Tapi sebenarnya, bagi orang-orang yang beriman, tiada istilah kebetulan dan karma. Yang ada hanyalah kekuasaan dan keesaan Allah azza wa jalla. Walam yakullahu kuffuan ahad. Tiada apa yang seteru yang dapat bertanding dan dapat berentap denganNya. Apatah lagi minda manusia dengan ilmu kita yang cukup cetek. Dah lah cukup, cetek pulak tu.

Disinilah titiknya untuk mengingatkan kita semua kembali, dimana Allah itu ada rencanaya. Dalam surah an-nashr:








Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Ramai manusia akan sama-sama beramai-ramai mengikutimu dan masuk agama Islam. Maka bertasbihlah dan bertahmidlah kepada Allah dan mintalah ampunan kepadaNya (terjemahan/tadabbur sendiri, kalau nak yang betul-betul transliterasi, cari di mushaf masing-masing).

Apabila sudah datang kurniaan Allah, sudah datangnya rezeki yang sudah berkurun-kurun, turun-temurun kita tunggukan. Seinggakan kita persoalkan dan kita memusykili keberadaan doa kita. Apakah doa kita sampai kepada sisi Allah? Apakah Allah tidak dengar akan rintihan kita?

Maka, disitulah harus kita renungi. Allah sudah lama kabulkan doa kita, Allah sudah lama kurniakan rezeki buat kita. Kita sahaja yang tidak nampak, terlalu fokus pada doa kita yang seolah-olah tak termakbul, bahkan kita murung dan mula merasa bahawa Allah sudah lupakan kita. Maka dalam surah ini, Allah sudah mengingatkan. Apabila sudah kita sedar bahawa nikmat yang Allah kurniakan itu, nikmat pertolongan dan kemenangan, maka bertasbih, bertahmid dan terutama sekali beristighfarlah kepada Allah.

Kerana meminta ampunan itulah sebaik-baik buat kita. Kerana, kita sering tidak mensyukuri nikmat. Kerana kita selalu bersangka buruk terhadap pencipta kita. Kerana apa yang semua kita dapat itu, biarpun nilai dan keputusan peperiksaan yang baik, duit yang banyak, harta yang berlambak, kawan yang ramai, ilmu yang dalam, itu semuanya datang daripada Allah juga.


"Ya Allah yang memiliki kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki..." (ali Imran:26)

Allah Maha Berkuasa.

Fassobbih bihamdi robbika wastaghfir. Innahu kanatau waba.

Wednesday, 23 January 2013

Lemah dan lelah

Aku rasa seperti aku ini seorang yang lemah, seringkali menangis di depan Allah, seringkali merasa kerdil pada pandanganNya. Seringkali mengeluh dan mengomel bersendirian dengan segala tanggungjawab yang tidak tertunaikan, dengan segala amanah yang tidak terlaksanakan, dengan segala janji yang tidak dikotakan.

Sesungguhnya al wajibaat aktharu minal awqaat.

Memang dasar hamba yang lalai! Senang terbeli dengan dunia yang dihiasi dengan tipu daya dan halusinasi yang tidak pada hakikatnya wujud untuk selamanya. Terbeli dengan dunia yang kelihatan sangat cantik dan indah dan menyenangkan tetapi tidak menenangkan. Merasa kegembiraan tetapi tidak memberi ketenteraman. Perkara-perkara yang hanya bersifat sementara lazimnya tidak dapat wujud selamanya.

Itulah dia tipu daya dunia. Wamal hayatu dunnya, illa mata ulghurur.



Sungguh keji dan celakalah sesiapa yang terbeli dengan ajakan-ajakan dan pujukan-pujukannya. Sungguh jahil dan tidak mengerti kalau di hati bermulanya mekar dan mewangi hubbun dunia.

Ya Allah aku mohon kepadaMu, aku ini hambaMu yang lemah dan kecil. Hanya Engkau sahaja yang berkuasa. Engkaulah Maha Esa. Pada Engkaulah aku mohon perlindungan, aku mohon pertolongan, aku berharap dan aku berdoa. Tolonglah kurniakan kami petunjuk hidayahMu. Kurniakan kami taufik hidayahMu.

Maiyuridillahu fiha khairan, yufaqqihu fideen. Maka bagilah dan berilah kami kefahaman dalam Ad-Deen, Deenul Islam ini. Sesungguhnya itulah khoiru minad dunya wamafiha.


Tuesday, 8 January 2013

Hidup seorang narsis.

Seringkali kita terlupa, alpa dan terlepas pandang hidup orang lain.

Kita sedar bahawa kita ini hidup dalam satu dunia, dalam satu alam wujud di mana keberadaan manusia-manusia dan makhluk-makhluk lain yang diciptakan Allah ada di sekeliling kita ini. Dalam kehidupan seharian kita, dalam kesibukan kerja dan pelajaran kita, dalam keseronokan dan kegembiraan cengkerama kita, kita sebenarnya tahu akan hakikat sebenar kehidupan.

Namun selalunya, kita alpa, atau mungkin secara tidak sedar dan di bawah kesedaran itu, kita memilih untuk menolak hakikat tadi, malah kita memilih untuk tidak mengendahkannya. Maka, kita menjalani hidup kita tanpa memikirkan tentang kehidupan orang lain. Kita menjalani hidup kita untuk diri kita sahaja, semuanya di dalam dunia ini, kita mengejar sesuatu yang kita inginkan, adalah atas dasar kepentingan diri kita sahaja.

Kita mudah lupa, terdapat banyak, malah tak terkira manusia yang lebih teruk dan buruk nasibnya daripada kita ini. Namun, kita tidak ambil tahu dan tidak bersikap empati langsung. Bahkan kita ini seringkali merungut dan complain sambil mengeluh bahawa makanan di atas meja kita ini tidak sedap, duit tidak cukup untuk beli gajet-gajet terbaru, mak ayah selalu tak memberi perhatian lebih kepada kita, kawan-kawan kita asyik buat itu buat ini tak berajak...

Jelaslah bahawa hidup kita itu, seputar masalah-masalah dilemma yang sejenis itu sahaja. Tidak pernah  untuk keluar dari kotak fikiran yang lebih luas dan lebih mendalam. Tidak pernah untuk meluangkan masa memikirkan masalah atau nasib yang kurang baik yang dialami saudara-saudara, takpun manusia sesama manusia (kalau tak mengaku saudara). Masalah-masalah yang pada dasarnya adalah sangat trivial dan tidak penting langsung dan boleh ditangani dengan segera jika kita tidak ambil kisah pun pada perkara-perkara kecil.

Ada banyak lagi perkara kecil yang lebih pentingm ,misalnya seorang budak kecil tak cukup makan gara-gara masih berlangsung satu peperangan dan satu bentuk penjajahan di daerah tempat tinggalnya. Dia bersama keluarganya yang ramai, tidak cukup makan, namun mereka masih bersyukur dengan apa yang mereka ada. Rezeki yang Allah berikan kepada mereka itu, Wallahi, sudah cukup buat mereka.





Hanya Allah sahaja yang tahu apa perasaan yang menyelubungi aku setelah aku melihat dan membaca tentang kisah adik kecil ini. Sebak di dada dan sedih aku memikirkan dan mengenang nasibnya. Aku berdoa kepada Allah untuk memenangkan Islam, untuk membebaskan umat ini dari belenggu-belenggu taghut dan jahiliyah. Aku berdoa kepada Allah untuk membalas orang-orang yang menindas saudara-saudaraku ini dengan sekeras-keras balasan.

Aku titipkan doa ini kepada malaikat, supaya doa ini secepat-cepatnya sampai. Aku percaya, aku yakin, Allah pasti akan membantu mereka dan KITA.


Di dalam alam yang lain. Pejam celik-pejam celik dah pun tahun baru, tahun 2013. Allah masih mengurniakan kita umur yang panjang dan peluang untuk kita kembali kepadanya. Untuk kita abdikan diri kita kepadanya sebelum ajal mendatang.

Balik kepada isu sifat narsis pada diri kita. Apa yang kita fikirkan waktu datangnya tahun baru, adalah untuk menyambut tahun baru itu di mana-mana tempat bersama orang-orang tersayang. Lebih afhdal rasanya bila menjelmanya tahun baru, ataupun sepatutnya setiap detik, haruslah kita sentiasa dalam keadaan muhasabah diri. Kita harus fikirkan kembali apa amalan-amalan yang telah kita lakukan. Kita harus ingatkan diri kita untuk bersiap sedia untuk ajal yang akan datang dan pasti datang. Kita harus syukur atas nikmat dan rezeki yang Allah sentiasa limpahkan ke atas kita.

Ingatlah, Allah Maha Besar dan Maha Pemurah. Syukurlah kepada Allah, mintalah kepada Allah, berharaplah kepada Allah.

KullhuwAllahu ahad. Allahu somad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufuan ahad. (Al-ikhlas:1-4)

Saturday, 24 March 2012

La taghdab.

Aku teliti pertuturannya, apa yang sering dia katakan. Aku teliti perbuatannya, apa yang sering dilakukanya. Cuma hatinya sahaja yang aku tidak bisa meneliti. Itu diserahkan kepada Allah sahaja. Mainan hati, bolak-balik pada hati itu, tarikan-tarikan yang terjadi pada kalbu, sesungguhnya Allah sahaja yang berkuasa untuk melembutkannya atau mengeraskannya. Maka mohonlah amupunan dan mohonlah bantuan daripada Allah.

Aku lihat, beberapa orang, hidup dia tidak lah tenang. Mungkin itu pada persepsi aku, dan juga mungkin itu merupakan satu ayat sungguh klise bagi orang-orang yang kononnya dah melakukan sesuatu jenis anjakan paradigma, seperti aku. Mungkin bagi orang lain, dia meluat tengok aku ini jadi begini. Aku faham, kau tak salah.

Cuma kau pun kena faham, kalau dari kaca mata aku di sini, melihat kau di sana, kau tak dapat bayangkan apa yang aku tontonkan pada hidup kau, pada apa yang menjadi inti-inti dalam kehidupan kau. Kau hanya akan dapat merasainya dan mungkin sedar apabila kau sudah berada dalam kasut aku, berada pada titik berdirinya aku, barulah kau tahu apa yang aku dapat lihatkan.

Dan apakah yang dapat aku lihat?

Sesungguhnya, apa aku lihat adalah hidup kau adalah persis tidak beza daripada hidup aku dahulukala. Tatkala aku masih lagi dalam alam persekolahan, hidup remaja bersama teman-teman yang sehaluan pemikiran dan ideologi iaitu untuk menghabiskan dan meluangkan masa bersama antara satu sama lain untuk mencapai kebahagiaan. Tak salah. Tak berdosa. Apa buruknya kita nak bersama-sama kawan kita, tak bukan?

Tetapi yang aku nak maskudkan di sini, hidup kau adalah seperti hidup aku waktu itu, keadaannya selalu tegang. Keadaannya selalu stressfull. Keadaannya selalu membuatkan aku terpingga-pinga, tersentap, selalu memikirkan masalah sendiri dan masalah dengan kawan.

Ya, yang aku maksudkan adalah tatkala aku selalu sahaja bercengkerama bersama kawan-kawan baik, namun pada kulit dalam lagi, pada isi hati, ada juga timbul perasaan sakit hati dan perasaan menyampah antara satu sama lain gara-gara perbuatan/percakapan yang membuatkan hati terluka.

Sudah tentu semua akan merasai perasaan itu, tak bukan? Sudah tentu semua tahu apa rasanya. Perasaan yang marah di mana ia terbit akibat rasa sakit hati yang memanjang. Seolah-olah ruang di dalam tubuh tak boleh nak muatkan perasaan itu sebab dah penuh diisi dengan organ dalaman. Seolah-olah di dada itu terasa sakit sangat. Seolah-olah tidur tak boleh, gara-gara asyik memikirkan, asyik tak tenang mengingati peristiwa-peristiwa yang terjadi yang membuatkan diri sendiri rasa gusar dan gundah gulana.

Itu yang aku maksudkan sebenarnya. Hidup bagaikan tidak tenang, walaupun seharian bersama kawan-kawan, berjalan-jalan, enjoy, bual-bual, tetapi pada hujung hari, kita tiba-tiba sedar, ada juga yang berani melukakan hati kita secara sengaja ataupun tidak. Namun kita tak lihat sama ada sengaja atau tidak, itu bukan faktor yang kita ambil berat, faktor yang kita tengok adalah sama ada dia buat salah atau tidak, dan salahnya itu sudah tentulah pada kita.

Nah, waktu itu aku tidak habis-habis memikirkan dan sering merenung tentang masalah-masalah  ini. Terlalu self-absorbed pada benda ini sehinggakan benda lain tak fikir, benda lain tak boleh nak fokus sangat. Betapa hebatnya waktu itu. Mulalah, tulis ayat-ayat sindiran yang ditulis secara am walhal ditulis untuk target orang sebenarnya. Mulalah cerita-cerita buruk di belakang tentang kawan yang buat salah dengan kawan yang lain. Maka, kehidupan seharian itu berpusat pada salah yang dibuat rakan itu, sama ada berbual pasal perkara itu bersama rakan lain, berfikir merenungkannya, sakit hati tiba-tiba apabila teringat perisitwa yang melukakan, dan lain-lain. Pokoknya, kalau satu hari tak termasuk salah satu aktiviti itu, tak sah.

Itu yang aku maksudkan dengan hidup tak tenang. Waktu itu, kalau dah buat salah kecil sekalipun, misalnya cakap perkara yang orang lain tak anggap salah dan melukakan, kita tetap akan ambil itu sebagai satu penghinaan. Sebabnya hati itu tidak tenang, hati itu sering mencari kesalahan, hati itu tidak lalai daripada menunggu waktu untuk terluka, hati itu, sudah menjadi keras.

Akhirnya, tindakan lanjut, aku buat keputusan, sama ada memutuskan perhubungan persahabatan itu, atau cuba mengelak daripada berjumpa dengan kawan itu, atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Itu sahaja yang boleh dilakukan, pada hemat aku, pada waktu itu.

Walhal, sepatutnya, aku melakukan sebaliknya, yakni berterus terang apa masalahnya, dan buat berbincang seperti orang yang sudah matang pemikirannya untuk mencapai satu persetujuan dalam membaik pulih keadaan dan hubungan. Namun waktu itu, itu bukanlah satu pilihan aku, malah tidak terfikir pun untuk bertindak sebegitu.

Jadi, aku tak layan kawan aku itu, aku cuba menjauhkan diri dari kawan itu. Perkara ini jadi lebih panjang jalan ceritanya, aku pun dah malas nak tulis dan ceritakan balik, sebab bukan best pun cerita dia, dan melebar pula nanti jadinya.

Pokoknya, aku melihat hidup engkau, selalu berpusat pada kesalahan orang, pada kau. Kau selalu merungut, ataupun menuding kesalahan orang supaya mereka sedar. Labellah sebagai apapun, merungut, menuding, menyedarkan, penyuluhan, peringatan, yang penting, natijahnya, kau tak habis-habis rasa marah. Tidakkah hidup itu lebih daripada perasaan marah? Tidakkah hidup itu jadi tak enak dan tak enjoy kalau kau marah.

La taghdab. Jangan marah. Sabda rasulullah.

Ingatkanlah diri sendiri, sabar, ambil wudhu' dan sabar lah lagi. Hidup adalah lebih dari itu. Banyak nikmat Allah yang dah Allah kurniakan. Jangan asyik tengok pada sisi keburukan. Jangan asyik FIKIR DIRI SENDIRI dan MASALAH SENDIRI. Ramai lagi orang di dunia ini, masalah mereka bukan berpusat pada sakit hati, malah berpusat pada PENINDASAN, KEBULURAN, YATIM PIATU, KEZALIMAN dan lain-lain lagi.

Adakah kau rasa kau layak masalah kau yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan bermaafan atau terus terang lebih tinggi derajatnya daripada masalah saudara-saudara kita di negara-negara mereka di mana mereka mengalami masalah yang menancam NYAWA mereka?

Ingatlah, hidup kita ini senang, namun, janganlah lalai dibuai kesenangan itu. Ingatlah, ingatlah, ingatlah.

"... dan kehidupan di dunia itu tidaklah hanya kesenangan yang palsu "- (57:20)

"... kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdayakan" - (3:185)

Maka, aku simpati terhadap kau, sebab aku faham apa yang kau lalui sekarang. Aku pernah melaluinya. Namun, kau kenalah sedar, janganlah self-centered, selalulah ingat Allah kerana dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. InsyaAllah

Friday, 23 March 2012

Deria keeanam.

 Teringat dahulu waktu aku dibangku persekolahan, aku suka tengok kartun-kartun yang berupakan educational dan informative. Cartoon ala-ala untuk kanak-kanak tadika.

Tak hairnalah, aku waktu tu memang budak-budak.

tiba-tiba kemarin hari aku teringat satu peristiwa di mana aku menonton cerita dokumentari kalau tidak silap di animal's planet atau pun national geographic.

waktu itu ada tayang tentang meerkat manor's kalau tak silap dan juga satu tayangan tentang seekor singa betina dengan anak angkatnya iaitu seekor antelop(tak tahu dalam bahasa melayu apa nama dia).

Peliknya di sini, ingin aku ingatkan, waktu itu umur sekitar 10 tahun, waktu berada di sekolah rendah, dalam lingkungan tahun 4,5 atau tahun 6. Apa yang pelik adalah tingkat atau derajat emotional involvement aku terhadap karakter/ haiwan dalam tayang-tayangan tersebut.

Kisah haiwan-haiwan meerkat yang kecil lagi comel. Episod itu menayangkan kisah satu keluarga meerkat yang tinggal di dalam satu burrow dan pada waktu itu keluarga itu terpecah kepada dua, satu ditugaskan untuk keluar pergi cari makanan manakala yang tinggal itu ditugaskan untuk tunggu di rumah mereka sambil menjaga salah satu meerket betina yang sedang melahirkan anak baru.

Tatkala yang gagah-gagah dan yang kuat-kuat pergi keluar mencari makanan untuk keluarganya, kumpulan yang tinggal dirumah itu diserang oleh keluarga meerkat yang lain. Waktu itu hanyalah dipertahankan oleh sekerat sahaja yang tinggal untuk menjaga ibu meerkat tersebut.

Jadi, saat menjadi cemas, dan aku pun mula melompat-lompat depan televisyen meminta dan memohon Allah tolonglah mereka yang kena serang itu. Tolonglah cepatkan kumpulan yang keluar pergi makan itu untuk pulang dan mempertahankan tempat tinggal mereka. Aku mengeluh dan mula berasa kesian sangat terhadap meerkat yang diserang itu.

Akhirnya, pecahan keluarga yang tadi pergi cari makanan, pulang dengan lekas, dan mendapati rumah mereka kena serang. Maka terjadilah pertempuran antara dua keluarga yang sudah lama bermusuhan. Hasilnya, keluarga yang datang menyerang tadi, lari bertempiaran kerana askar-askar dalam keluarga pertama tadi sudah datang. Selamatlah keadaan, terutama bagi ibu meerkat yang sudah melahirkan anak baru.

Andai kata waktu itu, aku memang tidak memahami lagi apa-apa. Waktu itu aku seorang budak hingusan sahaja. Namun aku faham malah aku merasai emosi ketegangan yang dialami haiwan-haiwan itu. More or less. Seakan-akan aku adalah salah seorang daripada keluarga mereka, dan aku perlua melakukan sesuatu untuk membantu mereka.

Tidak lupa juga kisah singa betina yang dijumpai mengangkat seekor anak antelop menjadi anaknya. Singa betina tadi menjaga anak angkatnya itu seolah-olah sepertia anaknya sendiri. Tidak diketahui bahawa kenapa singa betina itu berbuat demikian, tetapi kisahnya memang menyayat hati. Sehingga pada akhirnya, anak antelop itu mati akibat tidak cukup makanan/susu yang tidak boleh diberikan atau disediakan oleh singa yang berlainan spesies.

Aku melihat kisah itu, waktu itu, aku rasa sedih dan aku rasa sayang kat singa betina itu dan juga pada anak antelop itu. Tidak mungkin satu haiwan yang sudah alami dan natural sepatutnya menjadi pemangsa di mangsa, tetapi kini menjadi ibu dan anak, yang dibelai dan dijaga dari ancaman luar. Tidakkah kisah seperti ini menyentuh hati kita?

Yang hairannya, kisah-kisah ini tidak ada pun sama sekali mereka ceritakan dalam bentuk mitos/ plot yang ada pembuka, penutup dan drama dan sebagainya. Kisah-kisah yang aku tontont ini di kaca televisyen merupakan kisah yang diceritakan dalam bentuk dokumentari. Bibit-bibit hidup haiwan di hutan, padang pasir, savannah. Namun kenapakah aku terasa sangatlah terikat dengan cerita-ceritanya? Kenapakah tayangan yang ditunjukkan dengan penuh fakta dan informasi sains, menjadi sesuatu yang beremosi, sedangkan selalunya kisah-kisah cinta, kisah-kisah hidup manusia, kisah-kisah gembira dalam movie-moviey ang sepatutnya meraih simpati dan perasaan dari kita. tetapi ini tidak, yang menjadi bahan tangisan dan perasaan adalah dokumentari.

yang menjadi jawabannya adalah, kita melihat sesuatu itu bukan dengna akal sahaja, tetapi apabila kita benar-benar menghayatinya, kita menghayatinya menggunakan hati kita. sessungguhnya hati kita itu merupakan satu elemen/faktor yang penting dalam kita menilai diri kita. Apakah kita menghayati buku-buku akademik, sains, matematik, akaun, dan lain-lain dengan hati atau dengan akal? Pernahkah kita baca buku teks sampai menangis? Kalau pernah, baguslah, memang betul-betul menghayati.

Namun yang menjadi kebiasaan adalah, tatkala membaca buku novel, tatkala melihat/menontot kisah-kisah drama, barulah terbit di hati perasaan emotional involvement. Perasaan campur baur emosi, seakan-akan kita sendiri yang mengalami apa yang dialami oleh karakter utama daam kisahnya.

Dan yang paling terpenting disini, apakah kita menghayati Islam, dengan hati kita atau akal kita? Walaupun kita dah mendapat edication, pembelajaran yang kira asas dan penting untuk bekalan kita pada waktu persekolahan dan ditambah pula dengan ilmu kelas-kelas PAFA/KAFA dan juga bagi yang pernah masuk belajar di sekolah agama pada waktu petang, semua ilmu itu kita sudah belajar malah sudah ingat. Namun, pada kefahaman, pada penghayatan, mungkin perlu lagi kita menambah baikkannya.

Perlulah kita ulangkaji semula perlajaran ilmu-ilmu yang pernah kita belajar, tetapi kali ini, perlulah penghayatan dengan mata hati. Penghayatan yang di mana apabila kita sudah memahami dengan hati kita, ia membuahkan amal yang istiqomah. Barulah betul-betul kita faham apa sebenar itu ad deen, apa sebenar itu islam dan kenapa kita perlu itu dan ini.

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam
Ad-Din”- HR Bukhari dan Muslim

dan jika hendak memahaminya, fahamlah dengan hati di mana dalam quran ternyata, hati itulah yang digunakan untuk memahami:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang
mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang
mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

dan di dalam satu hadis juga :

“Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah
seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”



Wednesday, 7 December 2011

Show me the way.

Setelah membuat beberapa panggilan telefon kepada sahabat-sahabat tersayang, dapat juga melepaskan rasa rindu mendengarkan suara mereka, lawak jenaka mereka, kisah-kisah mereka, walaupun hanya sebentar. Walaupun masa yang diberi hanyalah sedikit. Walaupun kita tetap akan berada pada dunia yang berbeza, namun aku berdoa, aku berharap pada yang Esa, tujuan kita sama.

Memang aku sedar sekarang, setiap kali aku cuba memohon dari Allah, aku akan bersujud dengan begitu lama, sehinggakan aku takut orang lain akan melihatnya sebagai satu ajaran sesat, sebagai satu pertunjukkan untuk meraih pujian. Namun itu Allah dan aku sahaja yang tahu. Betapa aku benar-benar tidak kisah pada semua itu, justeru, aku sujud selama mana pun, supaya aku dapat memohon pertolongan kepada Allah, meminta bantuan daripada tuanku, menyembah tuhanku. PadaNya sahaja aku bergantung, padaNya sahaja aku berharap.

Aku sedar sekarang, aku tidak usah fikir apa orang fikirkan tentang aku, tentang apa aku buat selagi aku masih beribadah kepada Allah. Memang pasti mereka tidak tahu apa yang bermain difikiranku, apa yang membolak-balikkan hatiku, hanya Allah sahaja yang tahu, dan hanya itu yang mencukupi. Sebabnya, Allah sahaja sebenarnya yang bisa melakukan sesuatu untuk mengubah segala-galanya. Allah sahaja.

Setiap kali waktu solat, atau selepas solat, aku berdoa dengan seikhlas hati, dengan serendah diri, dengan sehina diri, aku meminta kepada Allah.

barangkali kamu, kamu dan kamu yang berada di depan komputer riba kalian sudah bosan dengan apa yang ingin aku ucapkan. barangkali, kamu semua tidak faham apa yang aku lalui, barangkali, hidup aku ini hanyalah sebuah cerita dongeng yang menjadi paparan umum di kaca komputer riba seluruh dunia(dunia maya). Namun itu, aku tidak kisah. aku doakan kita semua mendapat petunjuk hidayahNya, dan janganlah ditarikNya kembali setelah diberikan kepada kami. Sungguh malang hidup kita tanpa penglihatan dan pemahaman dari kaca mata seorang muslim.

"sungguh engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" (Al-Qasas 28:56)

Namun aku tetap akan berdoa, aku tetap memohon kepada Allah. Ya Allah ya Tuhanku, aku mohon kepadamu, tolonglah berikanlah kami semua, terutama orang-orang yang aku kasihi petunjukMu.

I can't help but feel sad that the people i love, are not touched. I can't help but feel miserable and unhappy because that the people i love, are not able to see what i see, to feel what i feel, to experience the Izzah that i feel. I hope to God. I hope to the one and only God.

Thursday, 16 June 2011

Siklus kurang pandai.

Wow, dah berapa lama aku biarkan blog aku ini berdiri sendiri. Nak dekat sebulan dah aku rasa. Nak kata aku sibuk dengan hal-hal yang sepatutnya, tidaklah juga, ada juga masa yang aku habiskan dengan procrastinating daripada ulangkaji, namun tidak tergerak hati aku untuk meng-log-in untuk tulis entri-entri baru dalam blog ini.

Mungkin sebab banyak yang berlaku pada aku sekarang ini yang aku anggap tidak elok aku ceritakan secara awam di sini, buat paparan umum. Sebabnya isi-isi cerita itu mungkin berbentuk peribadi kan. Hmmm.

Tambahan pulak, sejak dua-tiga hari lepas aku banyak habiskan masa dengan mendengar lagu-lagu M. Nasir. Entah kenapa tiba-tiba jiwa ini meronta-ronta kesepian mencari-cari makna disebalik sebab-akibat yang wujud dalam hidup ini.

Banyak kejadian-kejadian yang terjadi disekitar paksi hidup aku ini yang tidak aku tahu dan tidak aku ambil tahu. Seakan-akan aku hidup di bawah tempurung, satu pulau yang dipagari dengan kejahilan aku sendiri yang tidak langsung berinisiatif untuk berhubungan dengan dunia luar.

Abaikan ayat-ayat aku yang over, memang sengaja direka-reka begitu sebab aku rasa macam ada sesuatu dalam diri aku, dalam benak kepala otak aku ini, yang perlu aku keluarkan dari dibiarkan ia bertumbuh dan membesar dan mengambil alih tugas-tugas hak mengelola diri aku sekaligus mengubah aku menjadi orang yang berbeza daripada orang yang aku bersusah payah nak menjadi.

Tapi aku tahu aku dah berubah, dan aku tahu orang lain perasan perubahan aku yang mungkin pada pendapat aku, ketara sangat kalau nak dibandingkan dengan diri aku yang dahulu. Aku sendiri mengaku aku tak tahu lah berapa lama aku boleh bertahan berkeadaan seperti kini, tapi aku berdoa aku akan dapat beristiqamah dengan semangat dan ilmu yang aku ada walaupun kalau nak dibanding dengan orang lain yang seangkatan dengan aku ini, cumalah busut anai-anai dengan gunung.

Baiklah, aku pun tak tahu aku merapu apa di sini, aku tak tahu nak cakap pasal apa, cuma aku ada keinginan nak menulis, tak kisah lah pasal apapun supaya aku rasa macam otak aku ini berfungsi. Bayangkan belajar dari pagi sehingga petang, setiap hari, lima-enam hari seminggu, kadang-kadang tak faham, kerana bahan-bahan dan intipati subjek pelajaran agak sulit dan juga kadang-kadang kerana bahasanya yang acapkali buat aku rasa muak nak belajar.

Namun, selesai sahaja kuliah, balik bilik, buka komputer riba, tonton cerita-cerita yang mengasyikkan, kerja assignment disiapkan last minute, tergesa-gesa pulak kerja tu. Exam nak dekat, buku tak baca, harapkan pada memori jangka panjang untuk ingat semula waktu kuliah, ketika pensyarah di depan mengajar bahan kuliah.

Benda ini semakin lama, semakin menjadi satu rutin. Menjadi satu putaran. Putaran bodoh orang kata. Buat benda yang sama, dengan tahap komitmen yang rendah tetapi mengharapkan hasil yang hebat-hebat. Kalau dalam pepatah orang putih :

Insanity is doing the same thing over and over again, but expecting different results. - Albert E. 

Seperti seekor hamster yang duduk di dalam sangkarnya, di mana ada satu roda buat hamster itu bersenam. Dia ber"lari" bukan main lincah/cepat/tangkas/laju, sampai habis tenaga namun akhirnya dia berada di tempat yang sama sahaja. Tidak bergerak dan beranjak ke tempat lain pun. Menghabiskan tenaga dengan bersenam cepat-cepat melakukan perkara yang tidak berfaedah, atau perkara yang boleh menjadi sesuatau yang bermanfaat tetapi, tidak menggunakannya dengan sebaik-baiknya.


Macam apa yang aku rasa sekarang dan juga pada waktu sekolah dahulu. Pergi sekolah pagi-pagi balik tengahari  petang main, malam tidur. Aktiviti ini didarabkan dengan lima atau enam hari seminggu, kemudian kita tengok hasilnya . Ada peroleh kebaikan ke, kalau tidak betul-betul menghayati apa yang dibelajar? Rasa macam sebuah (seekor?) robot sahaja. Seolah-olah tiada makna dalam apa yang dilakukan ini. Melakukan benda-benda ini hanya kerana aku rasa aku kena lakukan, tak pun hanya kerana mak ayah suruh dan lain-lain.

Seakan-akan aku sudah buntu. Aku sudah menemui jalan yang buntu. Aku seperti tiada tujuan. Apakah tujuan aku sebenarnya?

Namun begitu,

Tahu tak sebelum kita dilahirkan dalam dunia ini, kita sudah membuat satu kesaksian. Buktinya ada di dalam surah Al-Araf ayat 172:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman), "Bukankah aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi." (Kami lakukan demikian itu ) agar hari kiamat kamu tidak mengatakan, "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini".(7:172)

Dalam Al-Quran dah cakap, sebelum apa-apa kita dah bersaksi bahawa "tiada Tuhan melainkan Allah" supaya nanti waktu Akhirat, kita tak boleh nak cakap, "aku tak tahu apa-apa pun", "tak ada kasi tahu aku pun", walhal kita sudah bersaksi sebelum kita lahir malah setiap hari kita bersaksi terutamanya pada waktu solat. Jadi, tiada alasan bahawa nanti kita boleh menyanggah bahawa kita ini tidak pernah tahu tentang perkara ini.

Sesudah bersaksi, sudah tentulah kita harus melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya (secara ringkas). Namun kita masih lagi dalam putaran bodoh tadi itu melakukan perkara-perkara yang tidak bermakna, tidak mendatangkan faedah buat kita walhal Allah dah kasi tahu bahawa:

Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian (tanaman itu) mernjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning menjadi hancur. Dan di akhirat (kelak) ada azab keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan palsu. (Al-Hadid 57:20)

Nak diingatkan di sini, tiada nilai apa sekalipun diletakkan ke atas perkara-perkara dunia seperti perhiasan, senda gurauan dan permainan , berbangga-bangga dan berlumba mencari kekayaan dan berbangga anak keturunan. Semua itu tidak dipandang tinggi sekalipun. Sudah diberi analoginya di dalam ayat itu.

Hujan yang turun memberi manfaat kepada tanam-tanaman sehinggakan buat para petani rasa kagum dan gembira kerana tanaman mereka bertumbuh. Tetapi akhirnya akan kering jua sehingga menjadi kuning  dan setelah itu hancur. Seperti tiada gunanya nak kagum dengan tanaman-tanaman (dunia seperti berbangga-bangga, perhiasan, dan lain-lain) padahal itu semua didapatkan daripada hujan (rahmat, rezeki Allah) supaya mendekatkan diri denganNya. Namun disalahgunakan sehingga akhirnya hancur kerana memang ternyata perkara-perkara itu tidak boleh dibawa ke kubur. Tak ada guna semua itu.

Dan pada akhir ayat dalam surah tersebut dah crystal clear dinyatakan bahawa "Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan palsu". Maka macam tak ada guna lah kau nak berbangga-bangga dengan dunia dan bergembira dengan kesenangan di dunia ini kerana itu semuanya hanyalah palsu. Tetapi ini tidak bermakna kita harus mengabaikan dunia semata-mata untuk akhirat.  Dunia itu boleh dijadikan alat untuk kita mencapai matlamat kita.

Dan apa sebenarnya matlamat kita?

Allah. Syurga. Islam ditegakkan di dunia. Sistem kekhalifahan dan Deen Islam yang menjadi asas-asas membentuk hukum-hukum negara. Itulah matlamat kita. Tanpa berusaha dalam mencapai matlamat itu, memang tidak akan tercapailah. Ingat dengan berdoa sahaja, benda itu boleh kita perolehi? Sudah tentulah dengan usaha untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim itu merupakan langkah untuk mencapai matlamat. Kita tidak boleh elak daripada tanggungjawab besar ini.

Apa kita ingat kita boleh lari?

Setiap yang bernyawa itu akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan di dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. (Al-Imran 3: 185).

Kita ingat kita boleh lari dari mati ke? Pasti semua yang hidup bernyawa akan mati. Dan nanti akhirnya akan dibangkitkan semula pada hari kiamat dan dihisab amalannya. Siapa yang dapat masuk syurga itu, dia lah menang. Siapa dapat masuk neraka itu... Kehidupan di dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. Apa kita ingat apa kita buat selama ini, Allah tak nampak, Allah tak ingat?

Allah maha mengetahui.

Pada hari itu mereka semuanya dibangkitkan Allah, lalu diberitakanNya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah menghitungnya (semua amal perbuatan), meskipun mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (Al-Mujadilah 58:6)

Apa yang aku nak sampaikan sebenarnya adalah ini:

Sebelum kita lahir, kita sudah lakukan kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Maka kesaksian itu bukanlah hanya untuk disebut sahaja malah untuk diimani juga. Memandangkan kita ini memanglah hambaNya, itu merupakan satu tugas iaitu untuk menegakkan Islam.

Kemudian kita dilahirkan dalam keadaan sempurna ke dalam dunia ini. Dunia yang dikatakan sebagai kesenagan palsu dan juga yang memperdaya. Kalau dah tahu semua ini palsu sahaja dan memperdaya, jangan lah nak terlalu mementingkannya. Namun, ramai yang termasuk dalam putaran bodoh dimana kita melakukan perkara yang sama berulang kali seperti tiada tujuan langsung walhal, kita sudah diberi tugas, diberi tanggungjawab, diberi tujuan. Tidak akan terjadi putaran bodoh ini kalau betul-betul kita sedar.

Kelak kita akan dibangkitkan dan dihisab amalan, takkan kita nak cakap "aku dulu belajar, balik rumah tidur, esok belajar, balik rumah tidur, sabtu ahad keluar jalan-jalan. Macam biasa. Setiap bulan buat macam tu sampai ke tua". Putaran yang tidak membawa makna apa-apa langsung.

Ayuhlah kita keluar dari putaran "black hole" ini yang akan menyedut kita lagi ke arah menjauhiNya.

Maaf kalau terkasar bahasa atau ada nada marah, sebenarnya memang dalam keadaan marah ditulis entri ini. Marah kepada diri sendiri kerana tersekat di dalam putaran kurang pandai ini.