Monday, 9 April 2012

Anak masa depan.

Sejak muda dahulu, aku selalu impikan satu impian di mana aku dapat membina satu keluarga bersama isteri terchinta dan mendapat beberapa cahaya mata(betul ke istilah ni?). One happy family at home.

Hidup dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang di mana aku dan isteri akan selalu tersenyum indah antara sesama kita dan menjaga dan mendidik anak-anak kami sehingga mereka membesar menjadi orang-orang berguna dan mereka mengecapi cita-cita mereka, tak kira apapun cita-cita mereka.

InsyaAllah cita-cita dan impianku ini menjadi kenyataan. Aku mohon pertolongan padaMu ya Allah untuk kurniakan aku isteri yang solehah dan zuriat yang Kau redhai.

Sebelum aku lanjutkan dengan entri ini, ingin aku jelaskan bahawa entri ini bukanlah tentang baitul muslim atau perkahwinan dan pernikahan. Aku sama sekali tidak arif dalam bab itu, malah aku tidak arif dalam apa-apa bab sekali pun. Aku hanya ingin menceritakan kisah-kisah aku dan bait-bait hidup aku.

Sebenarnya apa yang ingin aku nyatakan di sini adalah berkenaan dengan betapa pentingnya kita menghasilkan zuriat. Tetapi bukan zuriat yang dalam erti kata konvensional itu sahaja, malah dalam pengertian zuriat di dalam dakwah.

Seringkali aku merasakan bahawa aku ini tidak menghasilkan anak-anak, bahawa aku ini tidak melakukan sesuatu sumbangan kerana aku tidak mempunyai zuriat, tidak mempunyai penyambung dalam warisan dakwah, pengikut yang dapat menyebarkan apa yang sudah aku didikkan kepada mereka kepada orang lain.

Menghasilkan kader-kader merupakan satu tugas penting yang tidak dipandang remeh temeh. Ia merupakan salah satu intipati dalam gerakan dakwah kerana itulah dasar dalam dakwah, tidak bukan?

Sedangkan dalam kisah dongeng Star Wars, ahli-ahli Jedi juga harus mencari anak-anak baru untuk diangkat menjadi padawan mereka untuk meneruskan legasi mereka untuk menjaga keamanan universe. Tidak lupa juga kepada ninja-ninja dalam Naruto, di mana mereka juga mencari bakat-bakat baru untuk dijadikan anak-anak didikan sensei-sensei supaya dapat meneruskan dan sentiasa ada generasi yang menjaga dan mempertahankan warga manusia dari kejahatan.

Dalam kisah-kisah seperti yang telah dinyatakan tadi, sama juga ertinya di dalam Islam di dalam dakwah dan tarbiyyah. Dititikberatkan dalam adanya anak generasi baru dalam memegang tanggungjawab yang telah dipegang oleh warga-warga sebelumnya. Amanah yang telah diberikan Allah kepada kita untuk menegakkan agamaNya, menaikkan martabat Ad-din di atas tanah bumi. Sudah tentu mesti ada pemuda-pemuda baru yang akan meneruskan perjuangan itu dengan penuh ikhlas dan semangat.

Takkan kita ingin menjadi seperti seorang bapa yang mandul, yang tidak dapat menghasilkan zuriat untuk menyambung legasi warisan keturunannya. Samalah halnya dengan dakwah ini. Tidakkah kita ingin menjadi seorang bapa, menjadi seorang murabbi, menjadi seorang penggerak dan penghasil kepada rijal-rijal yang beriya-iya ingin menegakkan kalimah syahadah dan juga yang rindu sekali kepada satu masa di mana semua umat Islam bersatu, yang tidak dapat melahirkan anak-anak berjiwa besar yang menghayati kalimah syahadah dengan benar?

Tugas kita adalah satu tugas yang berat tetapi sudah semestinya ada ganjaran. Ganjarannya sudah tentulah syurga. Sudahkan kita rasa layak untuk masuk syurga dengan melaksanakan lima perkara sahaja. Sudahkah kita rasa layak masuk syurga dengan mengetahui kebenaran tetapi tidak menyebarkan, tidak berkongsikan, tidak mengajarkan kepada yang lain untuk memahami kebenaran itu?

Namun, aku mengerti sama sekali proses mencari mutarabbi itu tidaklah satu proses yang senang dan mudah. Malah proses menjadi murabbi juga bukanlah suatu proses yang mudah. Tetapi bila lagi untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita ini, untuk merealisasikan impian kita kalau perkara itu sentiasa akan menjadi sesuatu yang sukar? Kalau begitu, takkan ada lah terjadinya proses tarbiyyah dan dakwah sebab memang hakikatnya ia tidaklah mudah, tetapi tidaklah impossible!

Ya, aku sangat mengerti, di mana lagi ingin mencari mad'u-mad'u. Kadangkala, seakan-akan tiada sasaran, tiada yang mendahagakan tarbiyyah. Barangkali masalahnya di situ. Barangkali masalahnya pada perspektif kita. Maka, mungkin orang-orang yang dahagakan tarbiyyah berada di depan mata kita, hanya, kita sahaja yang memandangnya sebagai bukan sasaran, atau kita yang tidak berusaha untuk mencapai kepadanya. Maka janganlah menyempitkan lagi skop dakwah dan sasaran bila mana banyak lagi manusia yang harus dibangkitkan. Apatah lagi jika kita ini berada di tempat-tempat yang memang sedikit sahaja mad'unya.

Oleh kerana itu, kita harus ingat bahawa penting untuk dihasilkan, untuk melahirkan anak-anak baru, kader-kader, rijal-rijal dalam medan dan perjuangan ini. Sebabnya, walaupun seberapa banyak duit kita peroleh, seberapa banyak harta yang kita ada, kalau kita tiada rijal-rijal yang akan mengerakkan dakwah dan tarbiyyah, maka sia-sia sahaja semua itu.

Maka dengan ini, ingin aku nyatakan, betapa aku nak sangat ada anak-anak. Nak sangat ada mutarabbi. Aku seolah-olah merindui pada bakal anak-anak aku yang aku tidak kenali. Namun hakikatnya, sukar juga untuk mencari mereka.

Ya Allah, permudahkanlah dan kurniakanlah aku anak-anak yang soleh, kurniakanlah aku mutarabbi mencari-cari redhaMu.

1 comment: