Wednesday 27 November 2013

Tidak usah bersedih

Marilah kita mengingati kenikmatan yang sudah Allah berikan. Walaupun tidak bisa kita hitung setiap satu kerana memang nikmat yang dikurniakanNya sangatlah banyak, sangatlah tidak terhitung, tetapi paling kurang kita ingatlah, kita fikirkan, kita cuba memaknai apa yang telah diberikan kepada kita.

Kemudian, mari kita fikirkan semula, apakah yang telah kita berikan kembali kepadaNya? Apakah yang kita lakukan untuk layak dikurniakan iman, islam, tarbiyyah dan dakwah? Sedangkan banyak lagi manusia yang tidak tersentuh oleh sentuhan kita, banyak lagi waktu yang telah kita sia-siakan, banyak lagi kenikmatan yang telah kita pergunakan bukan untuk kehendak Allah tetapi untuk kehendak dan kepuasan nafsu-nafsu kita sahaja.

Malah kita berani mengatakan bahawa bila Allah nak berikan kemenangan setelah aku dah kerahkan segala tenaga aku, setelah aku kontribusi, setelah aku dah buat kerja aku? Apakah kau kira kerja yang kau buat itu benar-benar kerja, atau sekedar kau mengisi waktu lapang, kau melayan permintaan orang bukan atas niat ikhlas suci, atau hanya untuk kelihatan tidak banyak songeh maka kau lakukannya.

Apatah lagi kau kira kerja kau itu kerja yang muntij, kerja yang memang memberi impak dan merupakan kerja yang efektif? Atau kau syok sendiri sahaja, walhal keadaan orang yang menjadi penerima penyampaian kau itu tidak mengerti apa-apa langsung? Justeru apakah kau berani lagi berkata, bila Allah nak berikan kemenangan? Berani kau nak bertanya sampai bila kita akan berada dalam keadaan seperti ini?

Tidak usahlah engkau bersangka buruk dengan Tuhanmu bilamana kau belum lagi mentajarudkan diri kau sepenuhnya kepadaNya.

Dan tidak usahlah kau bersedih kerana tidak diberi kemenangan kerana Islam itu pasti menang, kalau bukan sekarang, nanti ke depan. Kalau bukan engkau yang melihatnya dan dapat menikmatinya, cucu-cucu dan generasi pelapis dakwah dan tarbiyyah seterusnya yang dapat merasainya. Yang penting, usaha itu berbuah, usaha itu ada nilainya disisi Allah azza wa jalla, dan semoga kita dapat menikmati kemenangan hakiki di syurga nanti.