Setakat ini banyak juga yang selalu kata aku ini seakan-akan kebudak-budakan. Seolah-olah aku ini masih lagi kanak-kanak. Sepertinya aku ini seorang anak yang berada dalam kulit manusia yang sudah tua. Ok, perumpamaan yang berlebih-lebih (superhiperbola).
Barangkali yang ingin disebutkan adalah bukan pada wajah aku, atau bukan pada tubuh badan aku yang keras-keras dan tuff sangat (uhuks). Barangkali yang ingin diberi komentar adalah perwatakan aku yang masih lagi tidak matang.
Dalam erti kata lain, perwatakan aku yang masih lagi berjiwa muda. keh keh keh
Tetapi hakikatnya, aku memang seorang yang masih muda. Pada hemat aku, aku masih belum lagi cukup umurnya untuk dibanding dengan orang lain. Tidak cukup dari segi umur, dan tidak cukup dari segi ilmu, apatah lagi pengalaman.
Namun itu, kita harus ingat, apa yang buat kita muda bukanlah pada bentuk fizikal atau angka-angka hasil tolak tambah pada tarikh kita dilahirkan. Itu muda dari definisi yang sangatlah sempit. Membataskan sifat muda itu hanya tergolong pada orang-orang berdasarkan had umur sungguhlah tidak adil.
Apakah tidak relevan lagikah istilah "berjiwa muda" pada zaman sekarang? Sudah tentulah masih relevan.
Muda yang dikatakan pada istilah itu adalah muda dari segi ciri-ciri yang terdapat pada seseorang itu. Ciri ciri seorang pemuda yang terbahagi kepada 4 elemen iaitu:
1.Yakin
2.Ikhlas
3.Semangat
4.Amal
Empat ciri yang menjadi titik ukur menunjukkan bahawa seseorang itu merupakan seorang pemuda ataupun tidak tanpa mengirakan soal umur, bentuk tubuh, kadar glukosa dalam tubuh, kadar janggut yang tumbuh dikali dengan kadar misai yang ada, dan sebagainya. TIDAK.
Empat ciri itu dan empat ciri itu sahaja yang menjadi penanda yang mengatakan seseorang individu itu adalah seorang pemuda ataupun tidak.
Kenapa dikatakan kalau ada empat ciri itu menunjukkan bahawa dia adalah seorang pemuda?
Kerana apabila seorang pemuda ada keyakinan terhadap sesuatu, keyakinan yang mendalam, tiada siapa boleh mengubah keyakinan dia itu walaupun diseksa digoda. Dengan keyakinan yang mantap lagi teguh, nobody can stand in his/her way. Namun keyakinan sahaja tidaklah cukup.
Kerana seorang pemuda memerlukan keikhlasan. Ikhlas yang murni dan suci untuk melakukan dan meninggikan apa yang diyakini dia itu. Kerana tanpanya ikhlas, dia hanyalah terpaksa sahaja.
Kerana seorang pemuda seharusnya mempunyai semangat yang berkobar-kobar. Semangat yang tidak pernah padam. Semangat yang mendorong dia melakukan perkara yang dia yakinkan dengan ikhlas.
Kerana, apabila seorang pemuda mempunyai keyakina terhadap sesuatu yang dia yakini dengan ikhlas. Ditambha pula dengan semangat untuk meninggikan kedudukan dan derajat perkara yang diyakininya, maka itu akan membuahkan amal. Membuahkan perbuatan dan perlaksanaan yang dengan tujuan untuk menjayakan dan menegakkan apa yang diyakininya sendiri.
Dengan itu, barulah kita boleh lihat pemuda-pemuda yang mempunyai tujuan, mengamalkan melalui perbuatan, pertuturan untuk menyebarkan apa yang diimaninya. Dengan semangat yang tinggi dan ikhlas yang tulus, dengan itu tidak dapat nak memberhentikan gerakannya walau macam mana sekalipun kerana dia sudah mengimani dengan ikhlas, maka benda lain tidak penting bagi dia. Kerana dia sudah bersemangat dengan berkobar-kobar kerana dia tidak akan senang lenang sahaja diberhentikan oleh halangan-halangan. Kerana, dia mengamalkan apa yang diyakininya.
Kerana itulah Nabi Muhamad s.a.w. adalah seorang pemuda. Baginda meyakini pada Islam dan pada Allah. Baginda ikhlas dan rela melaksanakan perintah-perintahNya dengan cara mengamalkannya dengan semangat yang tidak pernah luntur. Maka baginda berdakwah mencari orang dan menyeru orang untuk mengesakan Allah.
Mentauhidkan Allah bukan sahaja dari segi penyembahan. Malah lebih dari itu. Apabila sudah bersaksi bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah Melainkan Allah bukan sahaja bererti dari segi pengabdian diri kepada Allah sahaja, malah dari segi pemerintahan, di mana kita tidak boleh rehda terhadap orang yang menolak HAK Allah untuk memerintah, dan memberi laluan kepada manusia untuk membikin sistem pemerintahan sendiri yang tidaklah setaraf dengan sistem pemerintahan Allah azza wa jala. Bukan dari itu sahaja, malah mentauhidkan Allah dari segi mengeluarkan manusia dari penghambaan sesama manusia dan menuju kepada penghambaan kepada Allah sahaja. Menarik manusia dari menunduk kepada manusia lain yang merupakan ciptaan ALlah sendiri, kepada menunduk dan berserah diri kepada Allah sahaja.
Kerana akhirnya, Allah sahaja yang berhak untuk disembah, dan Allah sahaja yang berhak memerintah dan sistem pemerintahan itu haruslah mengikut Islam. Kerana Allah yang menciptakan fitrah manusia sebegitu, maka Islam yang merupakan sistem yang Allah telah tetapkan merupakan sesuatu yang sesuai dengan fitrah manusia.
Maka, sebagai seorang pemuda, tanggungjawab itu terletak pada bahu-bahu kita, untuk dipikul dan disebar dan diamalkan. Kita merupakan penyambung tali yang terlalu panjang, dan jikalau kita tidak menyambungkan tali itu, orang lain tetap ada. Andai kata kita tidak menyahut tanggungjawab itu, sudah tentu orang lain akan menyahutnya kerana Allah dah janji, dia akan menjaga dan memberi kemenangan kepada Islam. Adakah tidak kita ingin bersama-sama turut dalam kemenangan itu?
Dari zaman dahulu sehinggalah zaman sekarang, yang menjadi tonggak, yang menjadi tiang kepada kebangkitan sesuatu revolusi, adalah pemuda. Tak kira lah kebangkitan apa, tetapi ternyata pemuda yang memainkan peranan yang besar untuk mengubah sesuatu dogma dan persepsi satu masyarakat itu. Kerana apabila mereka berpegang pada sesuatu, mereka tidak bisa akan menunduk pada ideologi lain, tidak akan menerima dan redha dengan pemikiran lain.
Maka, apakah kita akan menjadi pemuda-pemuda yang berkerja keras untuk meninggikan ideologi yang taghut, ataupun yang akan menaikkan dan mengibarkan panji-panji yang tertera kalimat La Ila Ha Ilallah?
Arakian, adakah kita akan terus menjadi seorang budak-budak yang nakal ataupun menjadi seorang pemuda yang berfikiran matang dan meneruskan dakwah dengan menyeru kepada Allah.
rujukan: Ila Syabab - Hassan Al Banna
No comments:
Post a Comment