Beribu-ribu kali berjanji dan berazam untuk berubah, namun akhirnya kecundang lagi. Mungkin tidak cukip beribu, maka diperlukannya berjuta.
Hati yang sarat dengan dosa apatah lagi tubuh dan anggotanya yang tidak jemu melakukan maksiat akan terasa pelik bila melakukan kebaikan. Setelah sekian lama terbiasa dengan tabiat-tabiat yang mudah dan memuaskan kesenangan, apabila berdepan dengan cabaran ingin melakukan perkara yang berlawanan dengan nafsu, sangat sukar dan sulit.
Memang fitrah manusia sukakan kepada kebaikan, kebenaran, keindahan apatah lagi yang membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan bilamana ia mendekati tuhannya. Namun pada jiwa yang sudah jauh dari tuhannua, sudah tidak mengenali siapa tuhannya, yang sudah tidak mengenali hakikat dirinya sendiri, akan memerlukan waktu dan memerlukan tenaga yang banyak untuk meningatkan dan membangkitkan dirinya dari kelenaan dunia dan kepuasan nafsu yang bermaharajalela.
Memang penat bila kita melawan nafsu, memang payah dan memang perit. Bayangkan seorang yang sudah ketagih dadah, mungkin dia tahu keburukan dan kejelekannya, mungkin tidak. Namun dalam satu sudut dalam dirinya, dia pasti dapat merasakan bahawa dadah apa jenis yang dia pakai atau makan atau gunakan itu membawanya ke jalan yang tidak dia sukai sekiranya dia sedar pada penghujung jalan itu adalah sesuatu yang membawa parah. Walaubagaimanapun, akhirnya diri akan kecundang kepada nafsu, akhirnya seolah-olah tidak dapat untuk dirinya mengawal diri sendiri melawan keinginan, kehendak, kebiasaan dan ketertarikan yang membuak-buak di dalam jiwanya yang menghidupkan dirinya untuk meneruskan dengan dadahnya itu.
Kerana melawan keinginan itu sangat penat. Menahan diri sangat penat. Yang mudah dan senang adalah mengikut dan menuruti, menunduk dan mematuhi, melaksanakan dan melakukan segala printah dan kehendak nafsu, sehinggakan terpedaya dengan kesenangan sementara yang diperolehi. Sehinggakan terlupakan kepada keburukan dan marabahaya yang menanti di penghunjung jalan ini, terlena dan lalai dibuai euphoria.
Lantas, bagaimana bisa untuk kita melawannya? Sedangkan apa yang kita hadapi, apa yang kita mendepani, adalah diri kita sendiri. Musuh kita ada darah daging yang cuba kita senangi dan bahagiakan, adalah jiwa yang membisik kepada kita ketika sendirian malah dalam keramaian.
Lantas bagaimana aku ingin melawan cerminan aku? Bagaimana aku ingin mengubah diri aku, membentuk satu permata yang berkilau dan berainar di dalam kegelapan dunia yang tenggelam di dalam kekotoran, kenodaan dan kenistaan.
No comments:
Post a Comment