Thursday, 4 August 2011

Kerana Imannya.

Kalau kau cintakan sahabat kau benar-benar kerana Allah, kau tidak akan berani menggunjing tentang mereka. Kalau kau cintakan sahabat kau benar-benar kerana Allah, kau tak akan berani memperkecilkan mereka. Kalau kau cintakan sahabat kau benar-benar kerana Allah...

Lihatlah pada waktu pasca peperangan Badar. Ghazwah Badar Al-kubra. Ramai tentera kafir yang menentang tentera Islam pada waktu itu, yang berjumlah kira-kira 10 000 orang, kalah dan kebanyakkan daripada mereka ditawan, menjadi tawanan perang. Ketika itu, mereka hanyalah kalah kepada tentera Islam yang sebanyak 300 orang sahaja. Ini membuktikan bahawa kuantiti tidaklah memainkan peranan yang besar berbanding kualiti.

Maka, pada waktu selepas peperangan ini, ramai tahanan dibawa untuk ditebus oleh saudara-saudara mereka, kabilah-kabilah mereka. Ditebus dengan harta. Ketika itu, seorang yang bernama Abdurrahman bin Auf, sedang membawa seorang tahanan perang yang bernama Abu Aziz ibn Umair untuk dihadap kepada salah seorang tokoh Islam, iaitu Mushab ibn Umair.

Abu Aziz, setelah menatap wajah saudara kandungnya Mushab, meminta untuk dilepaskan olehnya. Namun, Mushab tidak mengendahkan langsung permintaannya itu. Malah Mushab itu sendiri menyuruh Abdurahman bin Auf itu untuk menguatkan ikatannya dan belenggukan tahanan tersebut dengan seerat yang mungkin. Dia menyatakan bahawa tahanan tersebut mempunyai ibu yang menyayanginya dan memanjakannya, maka akan ditebus tahanan itu dengan harta.

Abu Aziz, setelah mendengarkan apa yang telah diungkapkan oleh Mushab, naik marah. Sampai hati saudara kandungnya, abangnya sendiri, berani menjualkannya kembali kepada ibunya sendiri, untuk dibalas dengan tebusan harta. Di mana perginya pertalian darah? Di mana terletaknya nilai antara adik beradik kandung?

Namun, Mushab ibn Umair, dengan sukarnya memandang ke arah lain. Dia menjawab dengan tegasnya:

"Engkau bukan saudaraku. Ini (Abdurrahman bin Auf) saudaraku, Dia inilah saudaraku!".

Dia adalah saudaraku, kerana Imannya. Dia adalah sahabatku kerana Imannya.

Itu antara salah satu kisah yang boleh menjadi penguat semangat kepada kita yang selalu dilanda dengan penyakit yang tidak baik sehinggakan boleh merusakkan, malah memutuskan ikatan persahabatan kita dengan saudara-saudara kita.

Kalau kita lihat dari kisah di atas, menurut pengetahuan kita, kalau kita kaji semula sejarah, bangsa Arab ini memang terkenal dengan semangat Assobiyah mereka. Semangat perkauman mereka antara kabilah. Mereka bangga dengan keturunan mereka, mereka bangga dengan nasab mereka sehinggakan mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi kabilah mereka, walaupun salah seorang dari kabilah mereka telah melakukan kesalahan.

Namun, apa yang kita dapat lihat dari kisah di atas adalah sebaliknya. Mushab ibn Umair, tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan atau membebaskan adik kandungnya sendiri, malah dia sendiri yang suruh mengetatkan lagi ikatan pada adiknya itu. Dia tahu ibunya akan menuntut pembebasan anak kesayangan dia itu dengan membayar dengan harta. Kenapa dia bersikap begitu? Kenapa dia lebih mementingkan untuk menahan adik kandung dia sendiri? Kenapa dia anggap Abdurrahman bin Auf saudaranya daripada menganggap adiknya sendiri sebagai saudaranya?

Di sinilah kita boleh nampak nilai iman seseorang itu lebih tinggi daripada nilai ikatan atau hubungan sesama darah kandung. Allah itu lebih penting, lebih berprioriti daripada darah, daripada yang tidak beriman.

Mushab lebih sayang Abdurrahman daripada adiknya sendiri kerana imannya. Baru ini kita boleh sebut persaudaraan atas dasar iman, atas dasar cinta terhadap Allah, ukhuwah fillah. Inilah merupakan persahabatan/persaudaraan yang dicari-cari kita selama ini sebenarnya. Kita menyayangi seseorang itu kerana imannya, kerana kita sama-sama menyayangi Allah, kita sama-sama mencari redha Allah, sama-sama menegakkan agama Allah.

Baru lah layak disebut ukhuwah fillah.

Rujukan:1. Dalam Dekapan Ukhuwah. Salim A. Fillah.
2. Ini Sejarah Kita. Thoriq Ahmad.

No comments:

Post a Comment