Saturday, 26 November 2011

Lihat ke belakang untuk merancang kedepan.

Satu perkara yang aku faham daripada pengalaman aku setakat ini, sejarah itu penting. Bukan setakat tahu sahaja tentang sejarah itu, malah, memahami sejarah itu. Dalam erti kata lain, kita memahami kenapa kisah itu terjadi, apa sebabnya, apa implikasinya terhadap faktor-faktor sekitar, dan apa pengajaran yang boleh kita ambil sebagai tauladan dan ikutan untuk diterapkan pada masa akan datang.

Aku mengaku, dulu aku seorang yang memang buta tuli tentang sejarah. Aku langsung tidak endahkan tentang sejarah, terutamanya sejarah dalam konteks Pendidikan Sejarah di sekolah. Memang itu merupakan subjek aku yang paling tidak diminati langsung. Persepsi aku terhadap subjek itu, hanyalah hafalan-hafalan perihal tarikh dan juga nama-nama orang penting yang hadir pada tarikh tersebut.

Namun, intipati sejarah yang dipelajari itu, tidak aku lihat dengan mata hati. Itu merupakan kesalahan aku dan juga menjadi satu kekurangan yang boleh menimpakan kecelakaan pada masa akan datang.

Kini, aku sedar bahawa sejarah itu membawa satu permaknaan yang tinggi kepada diri aku sendiri dan juga seharusnya kepada diri orang lain. Bahkan bukan dari segi konteks sejarah itu secara murninya sahaja, iaitu sejarah alam aspek bidangnya tersendiri itu sahaja,tetapi juga sejarah dalam aspek yang luas yang meliputi segala bidang.

Maksud aku, katakan sahaja kerja seharian seorang Doktor. Kerja dia adalah mengubati penyakit yang dihidapi pesakit-pesakit yang datang berjumpa dengan doktor tersebut. Namun sebelum itu, perkara pertama yang perlu dia lakukan adalah Anamnesis yang bererti menanyakan sejarah hidup (kesehatan/sosial/ekonomi) pesakit yang datang kepadanya tadi. Sejarah hidup meliputi semua hal dan semua bidang misalnya identiti pesakit seperti nama, umur, kaum, agama, gender, dan pekerjaan; sejarah keluarga seperti sejarah penyakit keluarga kalau ada yang menghidap penyakit akut atau kronik; sejarah penyakit yang dihidapi seperti simptom-simptom yang dialami oleh pesakit tersebut, sifat-sifat sakit tersebut dan lain-lain lagi. Banyak perkara yang perlu diambil kira dalam menganalisis dan mendiagnosis sesuatu penyakit yang dihidapi oleh pesakit tersebut dan yang terutamanya adalah sejarah kesehatan pesakit itu.

Boleh sahaja seorang doktor tidak perlu mengambil tahu tentang sejarah kesehatan pesakit yang berjumpa dengan dia. Tetapi kebarangkalian untuk mendiagnosis penyakit dengan betul dan tepat adalah lebih rendah daripada dengan adanya informasi-informasi yang berkaitan hasil yang didapati daripada anamnesis tadi. Tidakkah sejarah itu penting, walaupun tugasnya adalah sebagai seorang doktor?

Maka, sejarah ini memang meliputi segala hal. Bukan bererti kita hanya mengkaji sejarah sahaja semata-mata, bahkan mengkaji misalnya bagaimana terbentuk dan tertubuhnya sesuatu tamadun itu dan segala yang berkaitan dengan tamadun tersebut seperti aspek sosial dan ekonominya.

Katakan sahaja kita mengkaji sirah Nabi. Daripada sirah Nabi, banyak yang kita boleh perolehi yang boleh dijadikan sebagai ikutan dan teladan malah sebagai panduan dalam kita menangani masalah-masalah kita pada zaman sekarang. Kisah-kisah sahabat banyak tertulis dan terbuku yang senang sahaja untuk kita capai dan hadamkan supaya kita pergunakan dengan sebaik-baiknya. Allah sahaja, telah menurunkan wahyu-wahyu yang berperihal kisah-kisah nabi-nabi terdahulu supaya dijadikan pedoman dan pengajaran untuk umat akan datang. Kalau tidak kerana itu, mengapakah Allah selitkan kisah-kisah umat-umat terdahulu dalam Al-Quran? Apakah untuk kita mencari sumber inspirasi untuk dijadikan satu novel dan juga bahan rujukan dalam pembikinan filem? Sudah tentulah tidak.

Terserah kepada kita untuk meneliti dengan akal sahaja, ataupun meneliti dengan hati kita sekali. Adakah sejarah itu hanyalah sebagai satu waktu di mana ia adalah masa silam kita sahaja, ataupun sejarah itu merupakan satu bahan, satu panduan, satu teladan, satu kefahaman yang boleh kita emulate, boleh kita contohi, boleh kita fahami dan teliti untuk masa depan kita.

"Those who do not remember history are bound to live through it again" - George Santayana

Akhir kata, ingin aku tujukan satu persoalan. Kita membaca novel dengan penuh khusyuk dan penuh emosi sehinggakan apabila kita selesai membaca novel tersebut kita rasa seperti kita telah mengalami apa yang dialami oleh watak-watak di dalam novel tersebut. Seakan-akan, hidup kita itu mirip dengan hidup watak-watak dalam novel itu. Terkadang kita menganis, terkadang kita gelak, terkadang kita didatangi perasaan marah kerana kisah-kisah yang terjadi dalam cerita yang diamati kita itu. Kita baca novel itu dengan hati kita, bukan dengan akal sahaja. Itu yang membuatkan kita bisa merasai a spectrum of emotions dalam diri kita ini. Benda yang sama berlaku juga apabila kita menonton filem/ kisah bersiri.

Namun, tidak terfikirkah kita, apakah perkara yang sama berlaku apabila kita membaca kisah-kisah para sahabat? Pernahkah kita rasa puas dan gembira sewaktu KITA menang dalam perang Badar walaupun dengan jumlah yang sedikit menentang jumlah yang banyak? Pernahkah kita berperasaan sedih sewaktu KITA ditindas dan diseksa di Mekah hanya kerana kita mengucapkan dua Kalimah Syahadah? Pernahkah kita rasa hairan, kenapa terjadinya hijrah, kenapa KITA kena pindah dari Mekah ke Madinah, kenapa kita kena tinggalkan semuanya dan mulakan hidup baru di negeri orang?

Pernah ke kita menghayati sirah Nabi, apa yang terjadi, kenapa ia terjadi, bagaimana ia terjadi dan apa yang boleh kita ambil sebagai pengajaran?

Selamat Maal Hijrah saya ucapkan kepada semua in advance . :)

p/s: sesiapa yang nak dengar cerita Our Untolde History, marilah bertemu dengan aku, aku jamin, mesti best. :)

No comments:

Post a Comment