Sunday 4 November 2012

Jangan nok memilih sangat.

Kadang-kadang itu aku dilanda penat sangat sehinggakan membuatkan aku rasa nak ambil cuti sahaja dan berehat buat seketika waktu.

Seakan-akan orang ambil cuti dari kerja, cuti bersalin, cuti dari sekolah. Seperti time-out dalam satu perlawanan acara sukan, itu yang aku mahukan, dan seolah-olah itu yang aku perlukan. Untuk merehatkan tubuh badan yang sangat rasa lelah dan penat, minda yang rasa penuh dengan fikiran-fikiran yang seringkali mendatangkan pening kepala, dan untuk menenangkan jiwa dan hati yang selalu diisi dengan perasaan resah, kelam kabut, kucar kacir, hura-hara, seperti tiada wujudnya aman dan damai.

Kini aku mengerti benar apa itu penat dan lelah dalam melakukan tugas dan juga aku mengerti benar apa nilainya, betapa tinggi harganya waktu yang sudah diberikan kepata kita. 24 jam, seolah-olah waktu itu masih tidak lagi cukup untuk kita gunakan untuk melaksanakan amanah-amanah yang kita pikul. Namun, seringkali timbul dalam benak bahawa, waktu 24 jam itu jugalah yang membuatkan aku rasa bosan, rasa tidak senang duduk setempat, seakan-akan, 24 jam itu terlalu lama sehinggakan tak tahu apa yang ingin dilakukan dengan sisa-sisa masa yang ada.

Itulah dilemma orang menganggur, orang yang dibuai angan-angan bahawa hidup ini masih lagi panjang, dunia ini adalah abadi. Tetapi di situlah bahayanya, dan kita harus waspada dan menjaga diri kita.

"Indahnya
Jika kita dapat bersama
Hidup selalu gembira
Di dunia ini?.

Lagi indahnya
Jika kita dapat bersama
Hidup di dalam gembira
Di akhirat sana?"

Dipetik dari lagu Jalinan oleh nasyid UNIC.

Barangkali yang membuatkan aku istiqomah, adalah kerana memikirkan bahana yang mendatang kalau aku melepaskan tanggungjawab ini. Dosa yang aku dapat kerana tidak melakukan amalan ini. Murka yang akan diberi kepada aku yang enggan memikul amanah yang mulia ini.

Barangkali juga yang membuatkan aku tetap pada kerja ini adalah kerana aku teringatkan pada ganjaran yang akan dikurniakan kepada aku jikalau aku melaksanan tugas ini dengan penuh usaha dan ikhlas. Syurga yang begitu dahsyat indahnya, tetapi begitu mahal harganya.

Yang penting, apa yang aku boleh ambil sebagai ibrah ialah, aku harus dan mesti untuk don't take things for granted. Apa yang sudah dikurniakan kepada aku, sudah dilimpahkan kepada aku, sudah diberikan kepada aku, perlu aku syukuri, perlu aku hargai, perlu aku sentiasa ingatkan diri aku bahawa inilah dia, inilah dia kemanisan yang Allah berikan kepada aku.

Sebab itu, aku masih tetap di jalan ini.

Sebab Allah, masih memilih aku.

Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment