Dulu aku berani buat bodoh sahaja. Aku berani tak ambil endah pasa dunia yang aku diami ini. Tak ambil kisah pun pasal sekitar aku. Tak peduli apa yang terjadi, sedang jadi dan bakal menjadi. Aku tak baca surat khabar, tak tengok berita, tak memahami dan mendalami sejarah negara. Sekarang aku rasa takut pada hakikat yang aku dah banyak ketinggalan, lebih-lebih lagi kalau dalam bab negara ini. Sedikit demi sedikit aku cuba kejar balik. Aku baca berita online, aku cuba bual-bual kosong pasal negara dengan rakan-rakan untuk dapat input. Perlahan-perlahan.
Dulu kalau hujan, hujan lebat atau hujan biasa sahaja, aku berani nak mandi hujan. Berani keluar rumah main-main air tengah jalan, tepi jalan, dalam longkang(tipu je). Kalau sekarang, niat nak main hujan pun tak berupaya. Sebabnya sekarang banyak benda yang nak fikir. Hujan kotor lah, boleh demam kalau mandi hujan, kotor baju susah nak basuh nanti, bahaya takut kena petir ke atau licin sangat tanah nanti terjatuh kena atau worst case scenario kena langgar kenderaan akibat tak nampak sangat sebab hujan.
Dulu aku berani main game untuk berjam-jam lamanya. Aku berani tak tidur malam, tak makan hanya kerana nak habiskan satu level. Aku berani tinggalkan benda-benda penting untuk menang lawan ketua-ketua lawan yang tak penting. Aku berani lupakan benda lain kerana aku ingat nak menang game itu. Sekarang kalau nak main balik satu game atau nak cuba main game baru, aku fikir dua kali. Aku fikir membazir masa sahaja, sedangkan banyak kerja aku tak siap-siap lagi. Aku fikir membazir sahaja kegunaan emosi aku yang boleh aku simpan untuk digunakan sewaktu kejadian-kejadian nyata daripada rasa menyesal atau rasa sedih dan gembira sewaktu menang satu tahap dalam game.
Dulu aku berani menipu. Kalau buat salah tu mengaku bukan aku yang buat, aku lupa, aku tak tahu pun, tak perasan. Sekarang, aku takut sangat nak cakap benda yang tersalah. takut sangat kalau apa aku cakap tidak benar nanti padahnya akan menjadi buruk.
Dulu aku berani nak mengumpat pasal orang balakang-belakang mereka. Berani nak ceritakan keburukan orang lain dengan orang yang lain. Berani nak makan daging saudara sendiri. Sekarang aku tak berani nak cerita yang aku sakit hati dengan sesiapa sahaja. Aku takut nanti dalam keadaan itu, aku akan terlepas cakapa tentang keburukan mereka. Aku takut nanti kalau aku ceritakan keburukan orang, tujuannya adalah untuk mengutuk bukan untuk mebina. Kerana mulut, badan binasa.
Dulu aku berani. Sekarang aku takut, takut kepada Allah.
No comments:
Post a Comment