Yang aku nak ceritakan di sini sebenarnya adalah pengalaman aku yang tidak seberapa ini (ayat mestilah skema sikit).
Pada waktu aku kecil, memori yang paling awal aku boleh ingat adalah ketika aku hidup bersama mak aku di Russia. Pada waktu itu, memang mak aku bekerja di Kedutaan Besar Malaysia di Russia. Maka secara langsungnya, aku jadi anak Embassy. Sementara itu, ayah aku dan kedua-dua abang aku berada dan hidup berasingan dengan kami, di Malaysia. Boleh lihat di sini jarak antara aku dengan keluarga aku, kecuali mak aku. Tapi, itu pun bukan apa yang aku nak bincangkan sekarang ini.
Selama aku tinggal bersama mak aku di negara orang ini, nak kata ilmu agama itu kurang diterapkan dalam hidup aku, bukanlah satu overstatement. Aku tak salahkan mak aku. Sesungguhnya tidak. Cuma aku nak cakap, mungkin persekitaran yang tidak memberangsangkan juga lah kan, lebih-lebih lagi di negara yang memang jelas tak berapa nak suka agama Islam dan hidup di bawah naungan seorang fulltime working mom.
Selalunya, bila habis sekolah je, aku dihantar sama ada ke Embassy di mana ada mak aku, dan aku akan lepak di ofis mak aku, ataupun aku akan pergi duduk di rumah isteri-isteri kepada suami-suami yang berkerja di kedutaan tersebut. Aku duduk dengan keluarga lain, yang memang boleh dikira jadi keluarga aku juga lah, atau kepada mereka, aku yang jadi keluarga mereka. Waktu itu aku kecil, memang tak fikir sangat pasal apa-apa melainkan nak main sahaja.
Bila pulang semula ke Malaysia for good, aku dihantar ke sekolah kampung, di pelusuk hutan atas bukit. Memang aku jadi, bak kata orang, culture shock, tapi tak adalah teruk sangat. Cuma yang bezanya mungkin ada kelas agama Islam. Memang ternyata kelemahan aku bila masuk ke sekolah di sini, adalah subjek Pendidikan Agama Islam (PAI). Dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, itulah aku punya Achilles Heel.
Antara memori awal aku tentang tarbiyah (aku tak pasti nak namakan ini tarbiyah atau jinak-jinak atau hidayah atau epiphany atau sebagainya) kepada islam adalah pada waktu aku di darjah 4. Pada waktu itu ada periksa apa entah. Dah lah aku baru sahaja nak sesuaikan diri dengan sistem pelajaran di Malaysia, nak belajar subjek Agama Islam itu, hal lain juga. Dengan bahasa Arabnya, tulisan jawinya, maka memang aku rasa frust gila masa periksa nak jawab kertas soalan PAI sampai aku menangis dalam dewan peperiksaan. Aku dah lah bukan macam budak-budak yang lain, tak sekolah agama petang-petang. Memang aku tak tahu satu haprak ketika itu. Nasib baik, alhamdulillah, pada waktu itu, ada seorang cikgu ini, cikgu Bahasa Malaysia yang merupakan antara pengawas dalam dewan peperiksaan tersebut, memang baik sangat, dia sanggup kasi aku jawapan bulat-bulat. Aku pun tulislah bulat-bulat. Tapi itu pun, sampai situ sahaja. Tak terasa pun nak belajar, menangis masa periksa sahaja. Lepas periksa gembira. Lupa terus yang aku tak reti baca rumi.
Aku tak ingatlah aku darjah berapa ketika ini, tetapi isinya, mak ayah aku hantar aku pergi belajar mengaji dengan seorang makcik yang merupakan jiran di taman perumahan aku. Masa itu mungkin aku dah masuk darjah 5 atau 6, sebab aku ingat lagi yang aku fikir, sedangkan kawan-kawan aku dah advanced sampai dah boleh baca Al-Quran, aku ini yang pergi belajar mengaji, baru nak baca Iqra'. Kan kalau dulu-dulu nak mengaji, ada tahap-tahapnya, Iqra' untuk beginner, Muqaddam untuk intermediate dan Al-Quran tu dah kira expert dah nak baca. Cuma nak faham inti-inti dalam Al-Quran sahaja yang tidak mantap lagi.
Kemudian ketika aku di tingkatan 1, aku merupakan seorang sahaja lelaki bergama Islam di dalam kelas aku. Dah lah aku masuk sekolah baru, sekolah yang aku tak pernah ada kaitan apa-apa pun sebelumnya. Sekolah yang boleh dikira elit juga. I was starting from scratch. I didn't knew anyone at that new school. Tahu-tahu, aku dimasukkan ke dalam kelas yang memang aku seorang sahaja lelaki Melayu, dan beragama Islam. Memang aku rasa akulah yang paling aneh. Kalau kelas PAI tu, gabung dengan kelas lain, aku seorang sahajalah dengan segerombolan budak perempuan yang angkut kerusi sambil jinjing buku teks PAI ke kelas tersebut. Kalau ada apa-apa acara berbentuk agama, akulah yang jadi wakil untuk kelas itu. Aku seorang, tanpa pilihan, aku lah mangsa. Jadi, benda macam itu bukan menjadi pilihan aku, seperti dipaksa sahaja, tak ada rasa rela pun.
Ketika ini pula, aku dah naik tangga ke level baca Al-Quran. Tapi dah tukar guru. Gurunya adalah kawan sekerja mak aku. Belum lagi berkahwin, berasal dari kelantan (tak silap aku), kerja ofis dengan mak aku. Maka, selalunya lepas solat maghrib, aku ke :rumah bujang" dia dan belajar mengaji dengan dia. Baca tu dah kira tak merangkak-rangkak lagi, cuma apabila aku disuruh berlatih kat rumah, aku tak pernah buat pun. Bila tahu malam ni ada kelas mengaji, baru kelam kabut nak belek-belek Al-Quran tu.
Waktu lepas PMR, keputusan aku tidak memberangsangkan sehinggakan aku rasa nak pindah sekolah. Maka aku mohon untuk pindah sekolah ke sekolah yang dekat dengan rumah aku atas alasan lebih senang dan kurang kos. Waktu di sekolah baru ini, aku lebih selesa sedikit. Kebanyakkannya pelajar-pelajar kelas baru aku itu, aku dah memang kenal, sejak sekolah rendah lagi. Tak ada lah rasa susah nak fit in. Tak ada lah rasa macam aku seorang sahaja yang aneh dalam kelas. Pada waktu ini pun, guru subjek PAI aku memang best sebenarnya, cuma aku sahaja yang tidak berapa nak layan sangat sebab malas nak belajar, semua subjek.
Cuma mungkin pada waktu dua tahun ini untuk menghadapi SPM, aku pergi tusyen dengan seorang makcik depan rumah aku. Dia itu merupakan seorang bekas guru, dan pada pendapat aku seorang guru yang memang hebat. Walaupun seorang perempuan, aku tetap idolize dia. Apa salahnya kan, kalau kita mencontohi orang yang baik, baik perempuan, lelaki, atau sesiapa sahaja. Ketika ini, banyak insiden yang berlaku di Malaysia berkaitan agama, terutamanya kes Muslim yang banyak murtad. Jadi, cikgu tusyen aku ni takutlah anak-anak murid dia sekarang terkena tempias ke, lebih-lebih lagi generasi sekarang, dia pun buat lah dakwah kecil-kecilan (entahlah aku pun tak tahu nak panggil apa) iaitu setiap kali sebelum mula kelas tusyen, baca Al-Quran. Bukan itu sahaja, selalunya selepas selesai kelas tusyen itu, dia selalu berborak-borak dengan kitaorang. Dia memang dasar seorang yang peramah, kemudian dia pandai bertutur dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, maka dia pergunakan itu untuk berdakwah. Bual-bual sikit pasal solat pun dah cukup. Itu pun dah berdakwah. Di situ, mungkin aku terbuka sedikit untuk berjinak-jinak dengan Islam.
Gara-gara SPM juga, sejak tingkatan 4 lagi, aku dah mula jaga solat aku. Aku tahu pada mulanya memang atas sebab yang tak betul. Aku tak nak tinggal solat sebab aku takut Allah marah, keputusan SPM aku gagal. Memang kalau aku fikir balik, sungguh TRIVIAL aku punya sebab. Semata-mata aku takut Allah balas dosa aku dengan kasi aku kegagalan di dunia. Mungkin, aku memang kurang lagi pendidikan, sebabnya, aku tak terfikir pula balasan di kubur nanti, di Padang Mahsyar dan di Neraka. Ternyata, keputusan SPM aku pun memang tidak memberangsangkan. Tetapi aku bersyukur dengan apa yang aku dapat, kerana kalau bukan sebab keputusan aku yang tidak baik itu, aku tidak akan berada di mana aku berada kini.
Selepas SPM, aku berjaya masuk Matrikulasi, di Melaka. Sepanjang tempoh aku belajar di sini, kalau aku bandingkan iman aku sebelumnya, iaitu sewaktu di bangku sekolah, mungkin iman pada waktu ini lebih level up sikitlah. Lebih banyak solat di masjid berjemaah. Semakin berjinak-jinak dengan Islam, tetapi masih tidak, apa orang kata, sampai lagi. Still not there. Sebabnya, ya lah, masuk waktu solat, solat berjemaah. Selesai sahaja, balik bilik, belajar atau main atau apa-apa sahaja. Solat atau lebih dikategorikan sebagai Islam, untuk di masjid sahaja sementara selebihnya, adalah untuk selebihnya. Tarbiyah tak sampai kat hati lagi.
Tamat sahaja tempoh belajar di matrikulasi, aku dapat sambung belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Di sini pun, sama sahaja pada waktu matriks, cuma iman dah berkurang sikit. Aku tak banyak solat jemaah. Semua solat kat bilik sahaja. Mungkin sebab lebih bebas bila dah masuk hidup universiti. Maka, perangai pun dah bebas. Dah reti sewa kereta dan keluar jalan-jalan dah. Tetapi ada satu ketika itu, aku dapat tawaran untuk sambung belajar tempat lain yang cukup tempting bagi aku. Maka aku pun ambil keputusan untuk terima tawaran itu dan akhirnya, aku berada di sini, kini. Sebelum aku pergi itu, di Unimas itu aku sempat buat kawan-kawan baik sangat-sangat. Memang dah kira macam satu keluarga dah. Dan sebelum aku bertolak ke tempat baru, aku dapat hadiah daripada seorang kawan aku, dia hadiahkan aku terjemahan Al-Quran. Alhamdulillah. Banyak pahala dia dapat sebab sampai sekarang aku guna Al-Quran dia pakai itu. Aku amat bersyukur, kerana mungkin juga kalau bukan sebab dia kasi hadiah ini, aku pun tak terbuka hati nak buka dan baca maksud-maksudnya dan memahami dengan lebih mendalam lagi.
Dan Alhamdulillah juga, di tempat baru ini, aku berpeluang bertemu dengan akhi-akhi yang memang menjaga dan mendidik aku dengan baik sekali dan membantu aku untuk sedar apa yang aku tak perasan yang sudah lama berlaku di depan hidung aku sendiri. Aku bersyukur dan aku sedar bahawa aku diberi peluang untuk belajar di sini, bukan kerana untuk menjadi seorang bakal perkerja yang profesional, tetapi untuk mendapat hidayah Allah dan belajar untuk menjadi hambanya yang lebih taat. Alhamdulillah.
Ini semua kerana Allah.
Mungkin satu ibrah yang boleh aku kongsi dengan orang di luar sana. Kita sebenarnya tak perlu tunggu seperti aku ini untuk baru betul-betul sedar. Semua tanda-tanda kebesaran Allah dan tanda-tanda yang Allah itu sedang reaching out to you adalah di sekeliling kamu. You just have to look a little closer.
Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu (menjadi) manusia yang berkembang-biak. Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir. Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. - Ar-Rum (30:20-3)
alhamdulillah... teruskan dgn apa yg ko buat skarang...
ReplyDeleteterima kasih. :)D
ReplyDelete